Ahlan wasahlan ke taman mawar berduri ^_^ puteri penyejuk_mata umi & baba tercinta..^_*

~ruangan taman mawar berduri yang dipagari dengan iman dan taqwa~

"ruangan taman untuk sang puteri berkongsi madah,pengalaman,cerita,ilmu dan lain-lain lagi"

Saturday, November 21, 2009

Saudagar malang

Di sebuah negeri Arab ada seorang saudagar yang sangat pandai berniaga tetapi tamak. Dari perniagaannya itu dia telah memperolehi keuntungan yang banyak.

“Sekarang harta aku telah banyak. Aku tidak mahu berlayar lagi. Aku hendak berniaga di dalam negeri ini sahaja,” kata saudagar itu.

Kemudian saudagar itu membeli gandum. Ketika itu musim panas. Dia menyimpan gandum yang banyak itu di dalam sebuah gudang.

“Apabila datang musim hujan, aku akan jualkan gandum ini dengan harga dua kali ganda”, fikir saudagar itu. Tetapi ketika musim hujan harga gandum menjadi lebih murah. Saudagar itu tidak menjual gandumnya tetapi disimpan sementara menunggu musim yang akan datang. Tetapi nasib saudagar itu tidak baik. Harga gandum jatuh lagi. Saudagar itu bertambah-tambah rugi.

“Gandum kamu itu tidak akan memperolehi keuntungan. Jualkan saja daripada kamu menanggung kerugian” kata rakan-rakan saudagar itu. Nasihat rakan-rakannya tidak dipedulikannya.

“Walaupun sehingga sepuluh tahun lamanya aku tidak akan menjualkan gandumku dengan harga yang murah”, jawab saudagar itu dengan sombong.

Saudagar itu menutup gudang gandumnya dengan baik supaya angin tidak boleh masuk. Satu hari hujan turun dengan lebatnya dan tidak berhenti. Angin pula bertiup dengan kencang. Dengan tidak disangka-sangka gudang saudagar itu roboh dan habis gandumnya dihanyutkan oleh air hujan. Saudagar itu berasa sedih kerana tiada apa yang tinggal lagi pada dirinya.

“Itulah, dulu aku sudah nasihatkan kamu supaya jualkan gandum itu agar kamu tidak rugi. Sekarang apa sudah jadi?” kata rakan-rakanya. Saudagar itu hanya terdiam sahaja. Dia pergi mencari seorang ahli nujum.

“Tuan, tolonglah tilik apakah jenis perniagaan yang sesuai untuk saya?” Tanya saudagar itu kepada ahli nujum.

Ahli nujum menilik dan kemudian dia berkata, “Kamu tidak boleh berniaga dan tidak akan mendapat kesenangan. Buatlah kerja yang lain.”

Tetapi nasihat ahli nujum itu tidak dipedulikan oleh saudagar itu.Dia meneruskan perniagaannya. Dia membuat sebuah perahu dan memuatkan segala harta yang ada. Kemudian dia pun belayar meninggalkan negerinya. Sungguh malang nasib saudagar itu. Di dalam pelayaran, perahunya telah dipukul ribut. Habis karam semua hartanya.

Dia berenang menyelamatkan diri di atas sekeping papan. Ombak telah menghanyutkan saudagar itu ke sebuah pantai. Saudagar itu berjalan-jalan untuk mencari pertolongan. Dia pun sampai ke sebuah kampung. Kampung itu diketuai oleh Tuan Syeikh yang sangat alim. Syeikh berasa kasihan melihat saudagar yang kelaparan itu. Dia memberi saudagar itu makanan dan pakaian.

“Duduklah kamu di sini. Jagalah kebun dan ladangku. Aku akan beri upah kepada kamu,” kata syeikh itu lagi. Beberapa bulan kemudian musim menuai pun tiba. Kebun dan ladang Syeikh itu penuh dengan buah anggur, kurma dan gandum. Saudagar mengira-ngira akan bahagiannya.

“Wah! Banyaknya bahagian aku. Aku fikir Syeikh ini tidak akan memberi upah kepada aku sebanyak ini. Baiklah aku tolak dulu bahagian aku. Jikalau Syeikh ini menepati janjinya, aku akan kembalikan semula bahagian aku ini,”fikir saudagar yang tamak itu. Dia pun menyembunyikan bahagiannya yang telah diasingkan tanpa pengetahuan Syeikh itu. Setelah semua hasil ladang telah terkumpul, Syeikh itu pun memberi upah seperti apa yang dijanjikannya.

“Jikalau kamu duduk di sini sepuluh tahun lagi, tiap-tiap tahun aku akan beri kamu upah seperti yang aku janjikan, sekali-kali tidak aku memungkiri janji,” kata Syeikh itu.

Saudagar itu terdiam mendengar kata-kata Syeikh itu. Dia berfikir, “Akulah yang salah dan jahat. Baiklah aku akan mengembalikan bahagian yang telah aku sorokkan itu.”

Saudagar itu pergi mengambil bahagian hasil yang telah disembunyikan tetapi hasil-hasil ladang itu telah hilang. Dia pun berterus terang dengan Syeikh itu.

“Sememangnya kamu tidak akan memperolehi rezeki dengan niat dan helah kamu yang jahat. Sekarang pergilah kamu dari kampungku ini,” kata syeikh itu.

Saudagar itu sangat sedih. Dia menyesal dengan perbuatan serta sikapnya yang tamak. Dia berjalan menyusur pantai. Saudagar itu ternampak sepuluh orang penyelam mutiara sedang mencari mutiara. Salah seorang daripadanya mengenali saudagar itu.

“Mana segala harta kamu yang banyak itu, wahai saudagar besar?” tanya penyelam.” Apa yang kamu perolehi tinggal dengan tuan Syeikh itu selama ini?”

“Kerana niat aku yang tidak baik tiadalah aku memperolehi sebarang rezeki ,” jawab saudagar itu dengan hiba.

Penyelam-penyelam itu kasihan mendengar rintihan saudagar itu. Mereka mengajak saudagar itu menyelam mencari mutiara.

“Hasil yang diperolehi, kami akan beri seperdua kepada kamu,” kata penyelam kepada saudagar malang itu. Maka bekerjalah saudagar itu sebagai penyelam mutiara. Setiap hari dia memperolehi sebiji mutiara.
“Pergilah kamu jualkan mutiara ini kepada jauhari yang berniaga permata manikam. Dengan wang itu bolehlah kamu buat modal berniaga semula,”kata rakan-rakannya.

Saudagar itu pergi ke pekan untuk menjual mutiaranya. Dalam perjalanan saudagar itu telah ditahan oleh dua orang penyamun.

“Saudagar ini kelihatan seperti seorang fakir miskin tetapi di dalam mulutnya penuh dengan mutiara,” kata salah seorang penyamun itu.

Tiba-tiba saudagar itu terbatuk, maka terjatuh sebiji mutiara daripada mulutnya. Apabila dilihat oleh penyamun itu, mereka pun mencekik leher saudagar itu lalu bertaburan mutiara keluar daripada mulut saudagar itu. Saudagar itu pula jatuh pengsan kerana kesakitan.

Tidak lama kemudian, seorang budak lalu dan disiramnya saudagar itu dengan air. Saudagar itu sedar semula dan berjalan menuju ke pekan. Kemudian dia teringat dua biji mutiara yang disimpan di dalam poket bajunya. Dia terus ke rumah jauhari. Jauhari terkejut melihat pakaian saudagar itu seperti seorang peminta sedekah tetapi membawa dua biji mutiara yang berharga beribu-ribu ringgit.

“Mutiara yang engkau bawa ini sebanyak sepuluh butir. Mana lagi lapan butir?” tanya jauhari itu dengan marah.

“Lapan lagi telah dirampas oleh dua orang penyamun. Hanya dua butir sahaja yang ada pada saya,” jawab saudagar itu.

“Engkau telah berdusta,” kata jauhari itu. Jauhari itu menangkap saudagar itu dan membelasahnya. Kemudian saudagar itu dibawa ke hadapan seorang hakim. Hakim itu menjatuhkan hukuman penjara ke atas saudagar tersebut.

Suatu hari sepuluh orang penyelam, sahabat kepada saudagar itu datang ke pekan itu. Salah seorang daripadanya ternampak saudagar itu di dalam penjara. Maka diceritakan peristiwa yang telah berlaku ke atas dirinya dari awal hingga akhir.

Rakan-rakan penyelam itu pun berpakat untuk menolong saudagar itu. Mereka beramai-ramai pergi menghadap raja dan menceritakan segala perbuatan jauhari itu. Raja menjatuhkan hukuman sebat dan merampas harta jauhari itu. Sebahagiannya diserahkan kepada saudagar itu.

“Tinggallah kamu di sini dan berkhidmat dengan beta sebagai pemegang segala khazanah beta,” kata raja kepada saudagar itu. Saudagar itu mengucap syukur.

Dia tinggal di negeri itu dan berkhidmat dengan jujur sehingga akhir hayatnya.

No comments:

Post a Comment