Ahlan wasahlan ke taman mawar berduri ^_^ puteri penyejuk_mata umi & baba tercinta..^_*

~ruangan taman mawar berduri yang dipagari dengan iman dan taqwa~

"ruangan taman untuk sang puteri berkongsi madah,pengalaman,cerita,ilmu dan lain-lain lagi"

Thursday, October 6, 2011

Bernikah Di Usia Muda

Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam dan satu-satunya layak untuk disembah. Selawat dan salam kepada Nabi kita Muhammad, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga hari kiamat.

Menangguh-nangguh untuk bernikah akan menyebabkan kerugian.

Berikut adalah penjelasan dari ulama besar Saudi Arabia, Syeikh Dr. Sholih bin Fauzan bin ‘Abdillah Al Fauzan yang dipetik dari Web Sahab.net untuk dijadikan panduan kepada kita semua.



Faedah pertama: Hati semakin tenang dan sejuk dengan adanya isteri dan anak

Di antara faedah bernikah awal adalah lebih mudah menghasilkan anak yang dapat menyejukkan jiwa. Allah Ta’ala berfirman,

“Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. ” (Al Furqan: 74)

Isteri dan anak adalah penyejuk hati. Oleh kerana itu, Allah SWT menjanjikan dan mengabarkan bahawa bernikah dapat membuat jiwa kita semakin tenteram. Dengan bernikah, seorang pemuda akan merasakan nikmatnya ketenangan.

Demikian pula dengan anak. Allah pun mengkhabarkan bahawa anak adalah separuh dari perhiasan dunia sebagaimana firman-Nya,

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. ” (Al Kahfi: 46)

Anak adalah perhiasan kehidupan dunia. Setiap manusia pasti menginginkan perhiasan yang menyejukkan pandangan. Manusia begitu suka mencari harta dan manusia juga berasa senang jika memperolehi anak.

Sedangkan untuk kehidupan akhirat, anak yang soleh dan solehah akan terus memberikan manfaat kepada kedua orang tuanya, sebagaimana Nabi SAW bersabda,

“Jika manusia itu mati, maka amalannya akan terputus kecuali tiga perkara:

[1] ilmu yang bermanfaat,

[2] sedekah jariyah,

[3] anak sholih yang selalu mendoakannya.”

Hal ini menunjukkan bahawa anak memberikan faedah yang amat besar dalam kehidupan dunia dan juga setelah kematian kita.

Faedah kedua: Bernikah akan meningkatkan bilangan umat Islam.

Bersegera menikah juga lebih mudah memperolehi anak, sehingga umat Islam pun akan bertambah banyak. Oleh kerana itu, setiap manusia dituntut untuk bernikah demi membentuk masyarakat Islami. Rasulullah SAW bersabda :

“Menikahlah umatku. Kerana aku begitu bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat.”

Ini bermakna menyegerakan untuk bernikah memiliki manfaat dan kesan yang luar biasaWalaubagaimanapun, beberapa persoalan sering timbul jika berkahwin di usia muda.

Ada yang mengatakan bahawa nikah di usia muda akan membuat lalai dari mendapatkan ilmu dan menyulitkan dalam belajar. Ketahuilah, rintangan seperti ini tidak benar sama sekali. bahkan sebaliknya. Kerana bersegera menikah memiliki keistimewaan iaitu lebih mudah merasa ketenangan jiwa. Ketenangan ini akan menjadi penyejuk jiwa dan dengan adanya isteri dan anak, ianya akan dapat lebih membantu seseorang untuk mendapatkan ilmu. Jika jiwa dan pemikirannya telah tenang oleh kerana isteri dan anak berada di sampingnya, maka ia akan semakin mudah untuk mendapatkan ilmu.


Jika seseorang yang belum bernikah, maka pada hakikatnya dirinya terus terhalang untuk mendapatkan ilmu. Fikiran dan jiwanya masih kurang merasakan ketenangan, maka ia pun sukar mendapatkan ilmu. Namun jika ia bersegera menikah, lalu jiwanya tenang, maka ini akan lebih akan menolongnya. Inilah yang memudahkan seseorang dalam belajar dan tidak seperti yang dinyatakan oleh segelintir orang.

Rintangan kedua:

Ada yang mengatakan bahawa nikah di usia muda dapat membebani seorang pemuda dalam mencari nafkah untuk anak dan isterinya. Rintangan ini pun sebenarnya tidak boleh diterima. Pernikahan akan sentiasa membawa keberkatan (bertambahnya kebaikan) dan akan membawa kepada kebaikan. Bernikah bererti melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Seorang pemuda yang bernikah bererti telah menjalankan perintah Rasulullah SAW. Dia juga mencari janji kebaikan dan membenarkan niatnya, maka inilah yang sebab datangnya kebaikan untuknya. Ingatlah, semua rezeki itu di tangan Allah sebagaimana firman-Nya,

“ Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.” (Hud: 6)

Jika engkau menjalani nikah, maka Allah akan memudahkan rezeki untuk dirimu dan anak-anakmu. Allah Ta’ala berfirman,

“Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.” (Al An’am: 151)

Dengan ini, dapatlah kita tahu bahawa bernikah sebenarnya tidaklah membebani seorang pemuda sebagaimana anggapan sebelum ini bahawa bernikah dapat membebani seorang pemuda di luar kemampuannya. Ini tidak benar. Kerana dengan menikah, kita akan semakin mudah unutk mendapatkan kebaikan dan keberkatan hidup. Menikah adalah ketetapan Allah untuk manusia yang seharusnya mereka jalani. Ia bukan semata-mata khayalan. Menikah juga merupakan salah satu pintu yang mendatangkan kebaikan bagi siapa yang benar niatnya.

Wallahualam…

Wednesday, October 5, 2011

Antara persoalan kahwin awal

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50 atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Sebelum itu, saya mahu tanya. Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

AIN SUDAH BERTUNANG,,,,ALHAMDULILLAH..~~~^_^

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama. Negeri Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

“Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?”

Aku menjawab tenang.. “Warna putih, bersih…”

“Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat.”

“Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan.”

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu. Helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama, sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang. As-Syifa’ aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

“Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?”

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

“Insya Allah, ‘dia’ tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama.”

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

“Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!”

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan ‘dia’ yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa’ ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

“Bila enti menikah?”

Aku tiada jawapan khusus.

“Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu…” Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

“Jemput ana tau!” Khalilah tersenyum megah.

“Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!” Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

“Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti…”

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu…

“Usah berlebihan ya…”

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

“Insyirah, jom makan!”

Aku tersenyum lagi… Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

“Tafaddal, ana puasa.”

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

“Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat… Tarikhnya tak tetap lagi ke?”

“Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi.”

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

————————————–

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun…”

“Tenangnya… Subhanallah. Allahuakbar.”

“Ya Allah, tenangnya…”

“Moga Allah memberkatinya….”

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok ‘dia’ yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok ‘dia’ yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil ‘ibrah dari sosok ‘dia’ yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar…

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku. Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa’nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

“Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan ‘dia’ yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui.”

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian…

“Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?”

Ibu tenang menjawab… “Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh.”

“Allahuakbar…” Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

“Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama…”

Ibu angguk, tersenyum lembut… “Ini nak, bukunya.” Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk ‘Malam Pertama di Alam Kubur’.

“Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis… Khalilah tak tahu mak cik.”

“Dan sejak dari hari ‘khitbah’ tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan…”

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

“Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil ‘ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu.”

Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca atau tak)

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua’lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita… Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.